Tuesday 4 June 2013

Jom kongsi ilmu deko-mendeko..

As salam.....
Jom kita share serba sedikit ilmu mendeko.....
   
1. Pilih warna cat yang sesuai.

Pilih cat yang anda boleh bertahan dengannya untuk tempoh masa yang berpanjangan. Terutamanya, bilik tidur anda. Adalah sesuatu yang benar dan baik jika anda memilih warna yang menyatakan pendirian anda, tapi dalam masa 6 bulan, adakah anda masih fikir warna merah jambu terang, "cool"?

Perkara yang perlu diberi perhatian :

a.Pada amnya, warna-warna gelap cenderung kepada membuat sesebuah bilik kelihatan lebih kecil, jadi, untuk bilik yang kecil, seperti bilik tidur, pilih warna yang lebih cerah/muda.

b.Apabila dinding telah dicat, cat akan kelihatan lebih gelap daripada semasa ia masih di dalam tin. Pilih warna beberapa rona ("shade") lebih cerah daripada kemahuan asal anda.

c.Cari jenis cat yang betul dan ketahui apa kesan-kesannya. Contoh "SilkGlo - Sissons" merupakan cat emulsi bermutu tinggi yang menghasilkan kilatan lembut pada dinding, mudah dibersihkan dan tahan lama. SilkGlo amat sesuai digunakan sebagai perlindungan dan kemasan kepada dinding dalam di mana pembersihan perlu kerap dilakukan, contohnya dapur dan bilik kanak-kanak.

d.Pilih warna yang akan menyerlahkan dekor bilik anda. Samada kontras atau tidak, ia mesti menyumbang kepada dekor bilik, bukan menenggelamkannya.

Buatlah tinjauan sebelum membeli. Ada banyak lamanweb yang memberikan tip-tip tentang cat apa perlu dibeli, kenapa membelinya dan bilik mana yang bersesuaian dengannya. Anda juga boleh melayari lamanweb untuk mendapatkan idea (dengan panduan gambar) untuk menghias bilik tertentu. Anda boleh melihat hasil/gambar yang telah mereka lakukan dengan warna cat dan kesannya kepada dekor di dalam bilik tertentu.

2. Buat bilik kecil kelihatan luas.
Fancy Small Bedroom Design Picture listed in:

Belajar mendapat hasil yang terbaik dengan apa yang kita ada, adalah mustahak kerana pada hari ini, ruang yang kita ada semakin mengecil. Di bawah ada beberapa idea untuk anda :-

a.Letakkan cermin pada dinding. Jika diletakkan dengan betul, ia boleh menggandakan saiz bilik anda, sekurang-kurangnya secara visual. Contoh, ruang makan, letakkan cermin pada salah satu dinding bersebelahan meja makan. Sesiapa yang berdiri dan melihat ke dalam cermin akan nampak ruang itu lebih besar daripada yang sebenarnya.

b.Jangan beli langsir atau tabir yang berlebihan tebalnya. Beli langsir yang tampak anggun ("elegant"). Langsir yang tebal dan kembang boleh membuat bilik tampak selesa, yang mana tidak semestinya sesuai untuk bilik yang kecil. (Tetapi jika ini efek yang anda inginkan, teruskan niat anda).

c.Jangan beli perabot saiz yang paling besar. Contoh, jangan beli katil bersaiz "king" kalau nanti tidak ada ruang hendak buka pintu almari.

d.Gunakan tema yang simpel, dan kekalkan hanya satu tema. Jangan buatkan bilik kelihatan terlampau sibuk/berserabut. Baca artikel mengenai titik fokal untuk panduan lebih lanjut.

3. Jangan memodenkan semua benda.

Contoh untuk ini misalnya di dapur. Ramai orang hendak menghias semula dapur mereka. Memasak adalah "Rock 'n' Roll" yang baru dan dapur ialah pentasnya. Dengan tukang masak seperti Chef Wan, Chef Ismail, Chef Sabri, Chef Zaida dan lain-lain, ramai orang benar-benar mula seronok memasak.

Jika anda ada rumah yang mempunyai dapur fesyen lama, jangan buang kesemuanya hanya untuk digantikan dengan segala yang baru. Kadang-kadang yang lama itu sebenarnya adalah yang baru di dalam fesyen. Baiki kesemuanya, beri dapur anda palitan cat yang baru dan berikan penekanan gaya retro di dalam dekor dapur anda. Jika ia dibuat dengan betul, anda akan mempunyai dapur yang amat bergaya. Anda juga boleh mencampurkan yang moden dengan yang lama.

Contoh yang baik tentang yang "lama" tapi masih "cool" dan menyerlahkan yang moden :

a.Kerusi/bangku lama.

b.Aksesori seperti pembuka botol, terendak lampu.

c.Gambar atau lukisan daripada masa yang lalu. Anda mungkin boleh membeli gambar lama di kedai yang berkenaan.

Anda boleh membuatnya untuk mana-mana bilik di rumah anda. Cuma ingatlah, buat dengan berpada-pada dan bersederhana. Apa-apa pun kalau dah melampau, akan menukarkan yang "cool" menjadi sumbang.

4. Hiasi dinding.
Wall Art ideas for Living Room

Hiasi dinding dengan gambar, lukisan dan khat/kaligrafi yang berbingkai. Dinding yang kosong seolah-olah memberi impresi bilik yang kosong (namun membosankan). Tapi rahsianya di sini ialah pastikan bingkai gambar adalah dari kualiti yang baik dan rupa bentuk bingkainya juga cantik.

Bingkai benar-benar boleh menyerlahkan efek gambar atau foto. Gambar-gambar yang cantik, bila dibingkaikan akan tampak lebih hebat. Menambahkan "border" pada gambar juga akan menampakkan kelainan.

Dan, gunakanlah bingkai yang sesuai dengan dekor bilik tersebut. Ada bermacam jenis bingkai gambar yang terdapat di pasaran. Ada yang simpel, moden dan yang penuh dekorasi. Seperti telah disebut tadi, biarlah selari dengan dekor bilik. Tengok-tengok dulu apa yang terdapat di pasaran sebelum mengambil keputusan untuk membeli.

5. Gunakan efek pencahayaan yang baik.
Tentukan apa yang perlu diterangi (adakah sebuah bilik atau hanya sekeping lukisan)?, dan cara untuk menyerlahkan suasana sekeliling. Lampu baca moden sesuai untuk bilik bacaan, candelier untuk ruang masuk atau lampu dihiasi terendak untuk ruang tamu. Juga pertimbangkan, anda boleh membuat efek lembut dengan menggunakan mentol lampu yang menghasilkan cahaya warna-warna "warm" (mesra).

Ada beberapa cara untuk memasang lampu yang dapat menyerlahkan suasana ("ambience") sesuatu bilik :-

a.Lampu sorot - untuk menonjolkan hiasan dinding, gambar dan lukisan. Sering digunakan di ruang tamu dan ruang makan untuk menyorot satu titik yang menjadi fokus.

b.Lampu duduk atau berdiri memberikan kesan mengaburkan dengan arah pencahayaan di sudut. Limpahan cahaya dari lampu duduk membuat ruang nampak romantik dan syahdu. Banyak digunakan di ruang santai, ruang tamu dan bilik tidur.

c.Lampu gantung biasa digunakan sebagai sumber cahaya utama. Biasanya digunakan di tempat aktiviti keluarga. Umpamanya ruang keluarga yang dijadikan tempat berkumpul atau belajar untuk anak, ruang tamu dan ruang makan.

d.Lampu candelier memberikan kesan megah dan gemerlap. Rumah mewah biasanya banyak menggunakan unsur kaca dan perabot berwarna keemasan, lampu candelier mampu memantulkan cahaya gemerlap dari perabot-perabot ini.

Di luar sana terdapat banyak kedai yang menawarkan pelbagai jenis lampu, jadi tengok dan kaji dulu untuk menentukan yang mana adalah terbaik untuk anda.

6. Tong sampah bukan hanyalah tong sampah.

Anda perlu memikirkan perkara yang kecil-kecil. Hanya kerana tong sampah tempat di mana anda membuang sampah sarap, ini tidak bererti anda tidak boleh mempunyai tong sampah yang menarik. Anda akan terperanjat betapa ramai orang yang akan memuji jika anda ada tong sampah yang cantik. Kerana kita tidak ada tempat untuk menyembunyikan tong sampah ini, ia diletakkan di tempat terbuka di dapur, maka ia menjadi aksesori.

Lagipun, ia bukan saja mengenai tong sampah. Ia boleh jadi rak kunci, tempat simpan roti atau tempat habuk rokok di ruang tamu. Lihat sekeliling kepada benda-benda kecil ni, dan cuba fikir dan gambarkan kelainannya jika anda memilih sesuatu yang cantik dipandang serta berfungsi.

7. Wujudkan titik fokal.

Ini digunapakai di semua tempat:
a.Ruang masuk
b.Pintu hadapan

c.Taman

d.Ruang tamu

e.Bilik tidur

Ada beberapa cara untuk melakukannya:-

1. Gunakan ciri arkitektur - contoh, tingkap yang terserlah definasinya

2. Gunakan jambangan bunga sebagai titik fokal - boleh juga gunakan tanaman berpasu

3. Gunakan kerja-kerja seni - lukisan, gambar atau pasu bunga berukir

Tujuan mengujudkan titik fokal adalah untuk memberi mata anda sesuatu untuk dilihat sebaik saja anda melangkah masuk ke dalam sesuatu bilik atau ruang. Jika mata anda serta merta ditarik perhatiannya kepada imej yang ada daya tarik, ingatlah frasa "cinta pandang pertama". Titik fokal juga boleh menolong mengurangkan selerak. Ia menolong anda terlepas pandang keadaan sebenar sekeliling bilik dengan mengadakan titik referen.

Cuma ingat, jangan cuba jadikan ciri yang kecil sebagai titik fokal bila ada sesuatu yang boleh mengalihkan perhatian berdekatan. Tanaman berpasu kecil diletakkan di bawah lukisan Picasso tidak akan menjadi.

8. Wujudkan aliran laluan yang mudah.

Juga dikenali sebagai aliran trafik ("traffic flow") di dalam seni hiasan dalaman, laluan ini adalah jalan yang akan orang lalui untuk bergerak di dalam rumah anda, di sekitar perabut, dan lain-lain. Anda akan perasan pola di atas karpet selepas sesuatu jangka masa kerana aliran trafik yang tinggi boleh meninggalkan kesan aus dan lusuh pada karpet.

Jangan buat tetamu anda (atau anda sendiri) terpaksa melangkah barang-barang atau kena mengelak daripada perabot ketika berjalan. Cuba buatkan ruang-ruang di rumah anda mudah di akses, walaupun sewaktu ramai orang.

Untuk mewujudkan laluan yang mudah di lalui di dalam rumah, cuba idea-idea yang berikut :-

a.Tinggalkan ruang yang mencukupi di antara perabot, jadi orang mudah bergerak di antara perabot.

b.Gunakan titik fokal sebagai "destinasi" untuk menarik orang melalui laluan yang spesifik.

c.Jadikan destinasi laluan itu ada fungsinya - contoh di ruang tamu, pastikan anda boleh bergerak ke pintu masuk, suis lampu dan tempat duduk tanpa banyak rintangan.

Sesuatu yang simpel seperti laluan trafik nampak macam tidak penting, tetapi tetamu anda lebih berkemungkinan akan mengingati rumah anda kerana laluan trafiknya yang teruk daripada benda lain yang lebih baik.

9. Berikan fungsi kepada setiap bilik.

Berikan fungsi kepada setiap bilik dan pastikan setiap fungsi boleh terlaksana di dalam bilik itu.

2 contoh yang ketara :-

a.Ruang tamu memerlukan tempat duduk, dan meja untuk tetamu meletakkan cawan minuman apabila bertandang. Cuba jangan paksa tetamu membuat perkara yang tak semestinya seronok pada mereka, seperti memegang secawan kopi yang panas sehingga cukup sejuk untuk dihirup. Sudah pasti anda boleh menjadikan meja anda sebagai ciri yang boleh ditonjolkan di ruang tamu anda.

b.Bilik tidur sudah tentu memerlukan katil untuk tidur. Tetapi ia benar-benar berguna jika ada meja kecil di tepi katil dan mungkin lampu duduk terletak di atasnya.

10. Rajin-rajin membuat tinjauan.
Satu nasihat yang amat praktikal, lihat-lihatlah keadaan sekeliling bila berada di sesuatu tempat. Bila anda bertamu ke rumah orang lain, tengok sekeliling dan lihat apa yang anda suka. Anda tidak perlu menirunya betul-betul, tetapi cari idea-idea yang anda boleh praktikkan di rumah anda.

Bila membeli-belah, terutamanya ke kedai perabot, perhatikan bagaimana perabot dihias. Anda perlu sedar bahawa fungsi utama kedai-kedai adalah untuk membuatkan perabot mereka menarik perhatian pelanggan, jadi adalah menjadi kepentingan mereka untuk menghias/menyusun perabot di dalam gaya yang menarik.

Layari internet. Terlalu banyak lamanweb yang boleh memberikan tip-tip dan teknik hiasan dalaman. Malah ada lamanweb yang memaparkan gambar-gambar hiasan dalaman yang menarik. Ini adalah sumber yang bagus untuk mendapatkan idea-idea bernas.

4 comments:

  1. menarikss info nih! =)

    ReplyDelete
  2. nice sharing . saya klu boleh warna cat tukar setahun sekali , tgk warna yg sama jer jadi bosan . perabot yg minimize dan mix n match . hiasan pun suka tukar setahun sekali especially time raya ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. sharing is caring...hehehe...

      rajinnye tukar warna setahun sekali....siap tukar perabot lagi tue.tak per, tu namanya rezeki beraya kan...

      Delete